Tuesday, December 29, 2015

Homofon dan Homograf

Untuk ruangan kali ini, saya akan mengemukakan dua konsep iaitu homofon dan homograf.  Pelajar perlu mengetahui konsep ini bagi membantu mereka menggunakan perkataan-perkataan yang sesuai mengikut konteks ayat.

Homofon (bahasa Inggeris: Homophone) merujuk kepada perkataan yang disebut sama dengan perkataan lain tetapi berbeza dari segi maksud. Ia terbahagi kepada 2 iaitu:


Homofon yang dieja serupa tetapi mempunyai maksud yang berbeza, atau merujuk kepada perkara yang tidak sama.  Contoh,  "buku" (bahan bacaan) dan "buku" (bahagian di antara dua ruas); 
Homofon yang dieja berbeza tetapi mempunyai sebutan yang hampir sama.  Contoh, "massa" (dalam perkataan media massa) dan "masa" (waktu), atau "golongan" (kumpulan) dan "gulungan" (benda yang dilipat hingga berbentuk bulat panjang).


Homograf merujuk pada kata yang sama ejaan tetapi berlainan sebutan.  Contoh: “bela” (menjaga atau memelihara) dan bela (tuntut atau membalas balik).


Latihan: Homofon

Bina sepasang ayat dengan menggunakan setiap patah perkataan di bawah ini, untuk menunjukkan perbezaan maknanya.

(a)       telur - telor
(b)       seluk – selok
(c)        gelang – gelang
(d)       cocok – cucuk
(e)       gulungan - golongan


Latihan: Homograf

Bina sepasang ayat dengan menggunakan setiap patah perkataan di bawah ini untuk menunjukkan perbezaan maknanya.

(a)       Rendang – rendang
(b)       Perang – perang
(c)        bena – bena
(d)       semak – semak
(e)       tepak – tepak

Sunday, March 29, 2015

ASPEK KAJIAN DALAM KOMPENAN SASTERA MELAYU

Sinopsis
  1. Ringkasan cerita lebih kurang 100 -150 patah perkataan.
  2. Mengandungi huraian cerita mengikut urutan masa berdasarkan plot.
Tema dan Persoalan
  1. Tema ialah persoalan utama yang diungkapkan dalam sesuatu karya, sama ada secara langsung (eksplisit) atau tidak langsung (implisit).
  2. Persoalan bermaksud perkara-perkara sampingan atau isi yang lebih kecil yang ada hubungannya dengan tema sesuatu karya.

Watak dan Perwatakan
  1. Watak ialah pelaku atau tokoh dalam sesuatu karya yang menggerakkan cerita dengan cara berinteraksi sesama watak dan alam.
  2. Perwatakan pula ialah pelukisan tentang watak dari aspek luaran dan dalaman.
  3. Pelukisan   watak   itu   boleh   dilakukan   secara langsung   atau    secara    tidak    langsung   olen pengarang melalui aksi, tutur kata, atau watak-watak berkenaan.
  4. Dalam sesuatu cerita lazimnya terdapat istilah yang berkaitan dengan aspek watak, iaitu watak utama, watak sampingan, watak bundar, watak pipih, watak dinamik, watak statik, protagonis dan antagonis.
  5. Sifat perwatakan digambarkan melalui tindak-tanduknya, cara berfikir, cara bercakap, rupa paras, fizikalnya, kepercayaannya dan ideologi, serta gambaran perasaan seseorang atau watak itu.
  6. Watak pipih  lazimnya tidak kompleks,  tidak berkembang, dan tidak memeranjatkan pembaca.
  7. Watak bulat amat menarik kerana watak jenis ini menuju ke pelbagai arah sama ada menambah pengalamannya, mengubah sikapnya, dan fizikalnya.
  8. Watak dinamik ialah watak yang mengalami pelbagai konflik, persoalan, dan permasalahan dari awal hingga akhir.
  9. Watak statik atau kaku tidak mengalami apa-apa perubahan, perkembangan, dan tidak bergerak.
  10. Watak yang berperanan amat penting disebut watak utama. Watak yang kurang penting dalam cerita disebut watak sampingan.
  11. Watak protagonis ialah watak utama dalam sesebuah cereka. Watak ini tidak semestinya orang yang baik, tampan, dan berperikemanusiaan. Dia mungkin   diktator,   koruptor,   penjenayah,   dan sebagainya. Watak antagonis menjadi penentang atau lawan kepada watak protagonis.
  12. Walaupun begitu, untuk kajian komsas, hanya watak utama dan watak sampingan yang diberikan tumpuan.

Plot
Binaan plot:
  1. Plot     ialah    sesuatu    yang     menghubungkan peristiwa-peristiwa dalam sesebuah cerita. Setiap penstiwa dari awal hingga akhir berdasarkan hukum sebab dan akibat.
  2. Plot mengemukakan perkara yang terjadi dan sebab perkara itu terjadi. Setiap perkara berhubungan berdasarkan faktor-faktor sebab dan akibat.
  3. Susunan   cerita  bergantung   pada   fantasi   dan kreativiti pengarang. Plot dirangka dengan teliti dan tidak semestinya berurutan peristiwanya dari awal hingga akhir atau kronologi.  Plot ialah penyusunan kronologi yang diubah suai mengikut kemahuan pengarang.
  4. Teknik  penyusunan  plot  yang   menarik   ialah penyusunan  peristiwa  secara   tidak  kronologi. Pengarang haruslah cekap, kreatif, dan bijaksana menyusunnya sehingga mencapai peleraian.
  5. Permulaan   plot   ialah   peringkat   permulaan (eksposisi), iaitu untuk memperkenalkan watak-watak, latar, dan suasana.
  6. Perkembangan plot mengakibatkan konflik.
  7. Peristiwa berkembang kepada peringkat pertengahan cerita, iaitu perumitan (komplikasi).
  8. Perumitan   menuju   kepada   puncak   (klimaks) apabila tercapainya konsentrasi yang maksimum.
  9. Kemudian urutan cerita menuju kepada peleraian. Kadang-kadang  puncak dijadikan  pengakhiran cerita bagi sesetengah cereka.
 
  1. Teknik   plot   ialah   cara   pengarang   mengembangkan plot ceritanya supaya menarik.
  2. Antara   teknik   plot   termasuklah   seperti   yang berikut:
(a)    Imbas kembali
  1. Imbas kembali merupakan suatu teknik pengarang mengenang semula peristiwa yang pernah dialaminya.
  2. Peristiwa itu boleh diimbas kembali melalui pemerian pengarang atau khayalan, dialog, monolog, atau monolog dalaman
(b)    Imbas muka
  1. Imbas muka merupakan cara pengarang memberikan bayangan  awal atau ramalan tentang sesuatu peristiwa yang akan berlaku kesan daripada aksi-aksi watak dalam cerita berkenaan.
  2. Imbas muka dapat mewujudkan keyakinan dalam kalangan pembaca terhadap sesuatu yang akan berlaku.
(c)    Saspens
  1. Saspens atau ketegangan ialah peristiwa dalam cerita yang menimbulkan keadaan tertanya-tanya atau perasaan ingin tahu di kalangan pembaca tentang peristiwa yang akan berlaku selanjutnya.
(d)    Konflik
  1. Konflik merupakan pertentangan antara dua pihak atau dua kekuatan dalam satu urutan plot.
  2. Konflik boleh berlaku secara dalaman, iaitu konflik dalam diri watak dan secara luaran, iaitu antara watak dengan watak yang lain atau antara watak dengan alam sekitar.
  3. Konflik dapat juga digambarkan melalui pertentangan pendapat, idea, sikap, atau pemikiran?
(e)   Kejutan
  1. Kejutan ialah perubahan dalam urutan peristiwa yang berlaku secara tiba-tiba tanpa diduga oleh pembaca.
  2. Lazimnya, kesan yang timbul daripada kejutan tidak sama dengan yang diduga oleh pembaca.
 (f)   Dialog
  1. Dialog merupakan pertuturan antara dua watak atau lebih daripada dua watak.
  2. Melalui dialog antara watak-watak inilah biasanya tergambar pendapat atau   fikiran   yang berkaitan dengan tema.
 

Latar berperanan memberikan suasana kepada peristiwa dan manusia yang terdapat dalam cerita.
Latar   penting   dalam   mengembangkan   tema, persoalan, plot, watak, dan perwatakan. Idea, plot, dan watak akan lebih hidup jika berada dalam situasi pelbagai latar.
Latar merangkumi pelukisan geografi, topografi, pemandangan, bangunan, peralatan, tanggungjawab watak, waktu, dan sebagainya.
 Latar terbahagi kepada empat jenis, iaitu:
 (a)  Latar tempat
Merupakan   ruang   atau   tempat   peristiwa berlaku yang berkaitan dengan lokasi geografi.
 (b ) Latar waktu atau masa
Menunjukkan masa peristiwa berlaku seperti zaman, era, sejarahnya, atau musimnya.
 (c) Latar masyarakat atau citra masyarakat
Menunjukkan gambaran keadaan masyarakat dalam cerita merangkumi bangsa atau etnik, status dan kehidupan sosial, ekonomi, dan sebagainya yang bersesuaian dengan watak.
 (e)   Latar peralatan cerita dan watak
Alatan yang digunakan oleh watak dalam sesebuah cerita.


Sudut Pandangan (Aspek pilihan sahaja)
Sudut pandangan berperanan untuk mengisahkan sesuatu cerita dan menjelaskan pihak yang men-ceritakan sesuatu kisah. Maka sudut pandangan mempunyai hubungan yang erat dengan watak.
Menurut Anwar Ridhwan (1985), sudut pandangan ialah cara bagaimana pembaca dihidangkan dengan bahan cerita atau bagaimana pengarang memilih cara yang terbaik untuk menyampaikan ceritanya.
 Teknik sudut pandangan:
 (a)   Sudut pandangan orang pertama
Pengarang bercerita sendiri atau terlibat dalam cerita sebagai watak utama atau watak sampingan.  Sudut pandangan ini  disebut sebagai gaya aku, iaitu cerita itu dibawakan seluruhnya oleh watak aku, orang pertama, secara subjektif. Maknanya pengarang terlibat secara aktif. Teknik ini digunakan untuk menjadikan cerita lebih realistik.
(b)    Sudut   pandangan   orang   ketiga   tidak terbatas (serba tahu)
Kerap digunakan oleh pengarang yang mengisahkan ceritanya melalui watak lain menggunakan kata ganti nama diri ketiga, iaitu dia dan mereka atau lengkap dengan nama. Pengarang bersikap serba tahu dan bebas bercerita untuk mengemukakan emosi, fikiran, dan pergolakan jiwa watak-watak.
 (c)   Sudut pandangan orang ketiga terbatas
Pengarang    tidak    menceritakan    semua peristiwa atau  watak tetapi  hanya  akan memilih      watak-watak      tertentu      dan penceritaannya  tertumpu  kepada  mereka. Watak-watak lain diceritakan serba sedikit sahaja.
 (d)   Sudut pandangan objektif
Pengarang hanya menceritakan segala sesuatu yang dilihat dan didengarnya (melapor) dan masih menggunakan kata ganti nama diri ketiga. Bezanya pengarang tidak terlibat dalam cerita. Maka pembaca berpeluang membuat penilaian sendiri terhadap cerita tersebut.
 


Gaya Bahasa
Jenis Gaya Bahasa
Huraiannya
(a)  Diksi
  • Bermaksud pemilihan dan penyusunan kata-kata oleh pengarang daiam karyanya
  • Harus memperlihatkan kesesuaian kata yang dipilih dengan tema dan persoalan, latar, watak, dan mesej
(b) Ayat
  • Merujuk kepada cara pengarang membina dan menyusun ayat daiam karyanya, misalnya ayat pendek dan ayat panjang
(c)   Personifikasi
  • Dikenal juga sebagai perorangan atau penginsanan
  • Membawa maksud tindakan pengarang memberikan sifat manusia, sama ada darisegi perasaan, perwatakan, atau tindak-tanduk kepada benda-benda mati, binatang, idea, atau hal-hal yang abstrak.
  • Contohnya:    ...matahari   pagi   bangkit   daripada   selimut   gunung,    benaknya mendandan sejuta persoalan
(d) Simile
  • Merupakan perbandingan yang menggunakan kata konkrit (boleh dihitung) dengan kata abstrak (tidak boleh dihitung)
  • Contohnya: perahu duka, ladang kesabaran
(e)   Metafora
  • Merupakan perbandingan secara terus atau langsung tanpa menggunakan kata-kata seperti, bak, umpama, ibarat, dan sebagainya
  • Contohnya: samudera hampa, lautan fikiran
(f)   Hiperbola
  • Merupakan sejenis bahasa kiasan untuk menyatakan sesuatu secara berlebih-lebihan daripada maksud yang sebenarnya
  • Contohnya: serihu lautan sanggup diharungi
(g)   Sinkope
  • Bermaksud penyingkatan perkataan
  • Contohnya: "Apa dah jadi ni?"
(h) Rima
  • Bermaksud bunyi akhir suku kata pada tempat yang bersetentang antara dua baris atau lebih daripada dua baris daiam puisi
  • Terdiri daripada rima awal, rima dalam, dan rima akhir
(i)   Asonansi
  • Merupakan pengulangan bunyi vokal yang sama dalam baris-baris sajak
  • Contohnya:  pengulangan  vokal “u”   dalam   baris  Kerana aku penyair kupenuhi hidupku
(j)   Aliterasi
  • Bermaksud pengulangan bunyi konsonan yang sama dalam baris sajak
  • Contohnya: pengulangan konsonan dalam baris Memacu menghimpun kekuatan
(k)  Pengulangan
  • Berlaku pada kata, ungkapan, baris, atau rangkap yang diulang dalam sajak
  • anafora - pengulangan kata pada awal baris secara berurutan. Contohnya:Tambah mengimbau sorotan kitab MUHAMMAD ! Tambah mengimbau sorotan kitab ESA !
  • epifora - pengulangan kata pada akhir baris. Contohnya: ...di pundakku ...had sepiku
  • repitisi - pengulangan kata dalam baris yang sama. Contohnya, orang berbunga dia berbunga
(l)   Perlambangan
  • merupakan   kata-kata   yang   digunakan   untuk   menerangkan   sesuatu   benda, keadaan, atau peristiwa yang membawa maksud yang lain atau maknanya lebih mendalam
  • contohnya: senja melambangkan usia tua, pagi melambangkan usia muda
  

Antara contoh nilai ialah:
  1. Baik hati
  2. Berdikari
  3. Hemah tinggi
  4. Hormat-menghormati
  5. Kasih sayang
  6. Keadilan
  7. Kebebasan
  8. Keberanian
  9. Kebersihan mental dan fizikal
  10. Kejujuran
  11. Kerajinan
  12. Kerjasama
  13. Kesederhanaan
  14. Kesyukuran
  15. Rasional
  16. Semangat bermasyarakat dan nilai-nilai lain yang bersesuaian.


Pengajaran
Pengajaran ialah peringatan/pedoman/perutusan/amanat/mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang dalam karyanya kepada pembaca/penonton.
Dalam karya tradisional, ia disampaikan secara tersurat/secara langsung tetapi dalam karya moden, ia disampaikan secara tersirat/tidak langsung.
Gunakan nilai sebagai asas untuk menjawab. Jika nilai positif, mulakan ayat jawapan anda dengan
-     Kita hendaklah ……..
-     Kita seharusnya…….
        Jika  nilai negatif, mulakan ayat jawapan anda dengan
-     Kita jangan….
-     Kita tidak boleh….    
  …diikuti dengan contoh dalam teks.   

NOVEL TINGKATAN 3 : CEMPAKA PUTIH UNTUKMU


NOTA PINTAS NOVEL TINGKATAN 3 (CEMPAKA PUTIH UNTUKMU) - 5 DALAM 1


CONTOH 1:
#
Hartini dan keluarganya amat sayang akan Satiah dan memberikan sepenuh perhatian kepadanya yang menghidap kanser paru-paru.  
CONTOH 2:
@
Hartini dan Satiah rajin berusaha untuk menghadapi peperiksaan PMR dan akhirnya mereka berjaya mencapai keputusan yang cemerlang.
CONTOH 3:
&
Penduduk-penduduk di Kampung Batu bersama-sama membantuEncik Hasrul dan Pak Morit membuat persiapan majlis kenduri kesyukuran.


PERSOALAN:
#   Kasih sayang sesama manusia
@ Rajin berusaha demi kejayaan
&  Mengamalkan sikap tolong-menolong antara satu sama lain.
PERWATAKAN:
# Seorang yang penyayang
@Seorang yang rajin berusaha
& Seorang yang suka menolong orang lain
LATAR MASYARAKAT:
#  Masyarakat yang penyayang
@Masyarakat yang rajin berusaha
& Masyarakat yang suka menolong orang lain
NILAI:
#  Kasih sayang
@Kerajinan
& Tolong-menolong
PENGAJARAN:
#  Kita hendaklah menyayangi antara satu sama lain        
@Kita hendaklah rajin berusaha untuk mencapai kejayaan yang diingini
& Kita hendaklah mengamalkan sikap tolong-menolong antara satu sama lain

Contoh Soalan 1:  
Huraikan persoalan yang terdapat dalam novel yang anda kaji dalam Tingkatan 3.

Novel yang saya kaji dalam Tingkatan 3 ialah Novel Cempaka Putih Untukmu.

Persoalan pertama yang terdapat dalam novel ini ialah persoalan kasih sayang sesama manusia.  Sebagai contohnya, Hartini dan keluarganya amat sayang akan Satiah dan memberikan sepenuh perhatian kepadanya yang menghidap kanser paru-paru.

Persoalan kedua ialah persoalan rajin berusaha demi kejayaan. Sebagai buktinya, Hartini dan Satiah rajin berusaha untuk menghadapi peperiksaan PMR dan akhirnya mereka berjaya mencapai keputusan yang cemerlang.

Persoalan ketiga ialah persoalan mengamalkan sikap tolong-menolong antara satu sama lain. Sebagai contohnya, Penduduk-penduduk di Kampung Batu bersama-sama membantu Encik Hasrul dan Pak Morit membuat persiapan majlis kenduri kesyukuran.


Contoh Soalan 2:  
Huraikan latar masyarakat yang terdapat dalam novel yang anda kaji dalam Tingkatan 3.


Novel yang saya kaji dalam Tingkatan 3 ialah Novel Cempaka Putih Untukmu.

Latar masyarakat pertama yang terdapat dalam novel ini ialah masyarakat yang penyayang.  Sebagai contohnya, Hartini dan keluarganya amat sayang akan Satiah dan memberikan sepenuh perhatian kepadanya yang menghidap kanser paru-paru.

Latar masyarakat kedua ialah masyarakat yang rajin berusaha demi kejayaan.  Sebagai buktinya, Hartini dan Satiah rajin berusaha untuk menghadapi peperiksaan PMR dan akhirnya mereka berjaya mencapai keputusan yang cemerlang.

Latar masyarakat ketiga ialah masyarakat yang mengamalkan sikap tolong-menolong antara satu sama lain.  Sebagai contohnya, Penduduk-penduduk di Kampung Batu bersama-sama membantu Encik Hasrul dan Pak Morit membuat persiapan majlis kenduri kesyukuran.


***  Pelajar juga boleh menggunakan contoh yang sama untuk menjawab soalan bagi perwatakan, nilai dan pengajaran.

SUMBER : http://zaizak69.blogspot.com/2012/06/nota-pintas-novel-tingkatan-3-cempaka.html

Saturday, March 28, 2015

Karangan SPM : Gejala Antisosial dalam kalangan pelajar?

Karangan SPM 2011: Gejala Antisosial dalam kalangan pelajar?

 Kebelakangan ini pelbagai gejala antisosial dalam kalangan pelajar sekolah telah dilaporkan dan kerjasama semua pihak sangat diperlukan bagi mengatasi masalah ini. Bincangkan.

 Gejala antisosial dalam kalangan pelajar sekolah merujuk kelakuan tidak sopan, tidak baik, bertentangan dengan budaya tempatan dan menjatuhkan imej pelajar. Antara kelakuan negatif itu melibatkan ponteng sekolah, bergaduh dan menyertai kumpulan samseng. Media massa telah menggunakan gejala ini sebagai salah satu bahan berita utama mereka sehingga pelbagai pihak terutama masyarakat umum memberikan pandangan mereka tentang perkara ini. Jadi, mengapakah apakah gejala ini sebenarnya dan apakah cara-cara untuk mengatasinya?

 Gejala ponteng sekolah bukan sahaja menular di kawasan bandar tetapi meliputi juga pelajar luar bandar. Mereka sanggup menghabiskan masa dan wang dengan melepak di sesuatu tempat tanpa memberitahu keluarga mereka. Biasanya, pelajar sebegini akan berpura-pura pergi ke sekolah tetapi melencong kemudiannya. Pakaian sekolah akan ditukar dengan pakaian biasa ketika mereka melakukan gejala yang memalukan ini. Tindakan bijak mereka ini mampu mengaburi mata ibu bapa untuk mengesan kelakuan tidak baik mereka itu.

 Selain itu, vandalisme yakni sikap suka memusnahkan sesuatu juga menjadi satu masalah yang besar dalam kehidupan pelajar kini. Pelajar suka merosakkan kemudahan-kemudahan awam sekolah seperti meja tulis, papan kenyataan dan juga kemudahan tandas. Tindakan ini telah menyusahkan pihak sekolah kerana kos untuk menggantikan semua kemudahan ini agak mahal juga. Pada masa yang sama, kemusnahan kemudahan awam ini turut menyusahkan pelajar lain untuk menggunakannya pula. 

 Dalam usaha menangani masalah ini, pihak ibu bapa perlulah memainkan peranan yang penting dengan mendisiplinkan anak mereka. Sikap memahami dan mengesan sebarang perubahan tingkah laku dalam jiwa anak mereka amat penting supaya ibu bapa boleh memberi nasihat serta teguran yang membina. Hubungan yang erat antara ibu bapa dengan pihak sekolah juga penting supaya semua masalah anak mereka di sekolah dapat dipantau dengan lebih efektif lagi.

 Manakala, pihak masyarakat pula boleh menghulurkan bantuan dengan membuat laporan sebarang aktiviti yang mencurigakan daripada pelajar sekolah ini. Masyarakat boleh memerhatikan pelajar yang bermasalah ini dengan membuat laporan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Keprihatinan masyarakat ini turut memberi amaran kepada pelajar agar lebih berhati-hati jika mahu melakukan sesuatu tindakan buruk kerana tingkah laku mereka sedang diperhatikan oleh pihak masyarakat juga.

 Kesimpulannya, gejala antisosial dalam kalangan pelajar sekolah memang semakin serius dan perlu ditangani segera. Kerjasama semua pihak terutama ibu bapa diperlukan agar masalah ini dapat dihapuskan dengan sebaik mungkin. Kegagalan untuk menghulurkan kerjasama ini pasti menyaksikan pelajare kita terus mengalami masalah sosial yang memalukan pula. 


sumber : http://noorazmanmahat.blogspot.com/2011/03/karangan-spm-2011-gejala-antisosial.html

KARANGAN SPM : USAHA MEMBENDUNG KENAIKAN HARGA BARANG

USAHA MEMBENDUNG KENAIKAN HARGA BARANG

        Belakangan ini, kenaikan harga barang telah melanda negara kita. Kenaikan ini menyebabkan perbelanjaan rakyat Malaysia semakin bertambah. Bagi golongan yang hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang atau kurang berada ini, kenaikan ini sudah pasti menimbulkan beban kepada mereka. Terdapat beberapa langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menghadapi kenaikan ini, bak kata pepatah, ingat sebelum kena jimat sebelum habis.

     Satu daripada langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini ialah setiap rakyat Malaysia perlulah mempraktikkan amalan berjimat cermat. Amalan ini dapat dilaksanakan dengan mengurangkan perbelajaan atau ikat perut. Sebagai contohnya, jika pada suatu ketika dahulu kita berbelanja sebanyak 100 peratus, perbelanjaan tersebut hendaklah dikurangkan kepada 50 atau 60 perataus sahaja. Wang selebihnya hendaklah kita simpan. Melalui cara ini, kita dapat mengurangkan pengaliran wang di pasaran dan seterusnya dapat mengurangkan permintaan terhadap sesuatau barangan sekali gus dapat mengurangkan kenaikan harga barang.

    Selain itu, ketua sesebuah keluarga pula hendaklah merancang perbelanjaan keluarga dengan teliti. Semua perbelanjaan hendaklah dibuat berdasarkan keperluan yang sebenarnya. Hal ini bermaksud barang-barang yang tidak diperlukan hendaklah diketepikan. Sebagai contohnya, setiap ahli keluarga hendaklah menangguhkan pembelian pakaian yang berjenama mahal, peralatan perabot, dan sebagainya. Mereka hendaklah menumpukan pembelian barangan keperluan utama seperti beras, gula, tepung, dan sebagainya.

Di samping itu, semua ahli masyarakat hendaklah memboikot barang-barang di pasaran yang harganya naik secara mendadak. Dalam hal ini, masyarakat hendaklah bersatu hati seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu, iaitu bersatu teguh bercerai roboh. Sebagai contohnya, masyarakat janganlah membeli ayam daging di pasar yang mengalami kenaikan harga yang tidak munasabah. Apabila pembeli memboikot pembelian terhadap ayam daging tersebut dalam tempoh tertentu, harga ayam tersebut akan turun kembali.

        Bukan itu sahaja, pihak kerajaan pula hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan tanpa mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan. Pegawai yang bertanggungjawab hendaklah mengadakan lawatan secara mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan penjual mematuhi peraturan yang telah ditetapkan atau tidak bersikap seperti lintah darat. Sebagai contohnya, mana-mana penjual yang menaikkan harga barangan secara sesuka hati atau cuba memasang lukah di pergentingan, mereka hendaklah didakwa di mahkamah. Tindakan ini akan menyebabkan mereka tidak berani untuk mengambil kesempatan dalam suasana negara menghadapi kemelut kenaikan harga minyak.

        Kesimpulannya, kenaikan harga barang telah menyusahkan banyak pihak. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menangani masalah ini. Bagi sesetengah pihak pula, janganlah bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Semua rakyat Malaysia mestilah bertindak seperti ke bukit sama-sama didaki dan ke lurah sama-sama dituruni untuk mencari jalan bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku. Sebagai pengguna pula, kita mestilah memboikot barang-barang tertentu jika ada pihak yang ingin mengambil kesempatan dalam situasi genting yang bagai telur di hujung tanduk ini.

Tajuk Karangan Pilihan

Tajuk perbincangan bersama pelajar Tingkatan 5 hari ini. Semua adalah idea dan pemikiran mereka sendiri. Soalannya adalah " Jika anda diberi peluang memikirkan tajuk sendiri untuk kertas karangan peperiksaan, apakah tajuk yang akan anda fikirkan?

Ini adalah antara jawapan para pelajar :

  1. Kebaikan dan keburukan penggunaan telefon kepada remaja.
  2. Langkah-langkah menasihati rakan-rakan yang mengalami masalah dalam pelajaran.
  3. Kahwin pada usia muda. Kebaikan dan keburukanya.
  4. Peranan rakyat kepada pembangunan negara.
  5. Usaha-usaha memupuk semangat nasionalisme.
  6. Langkah-langkah memupuk minat dan budaya membaca dikalangan remaja.
  7. Cara-cara mengatasi masalah anti sosial dikalangan remaja.
  8. Kebaikan menjalani gaya hidup sihat. Bincangkan. 

KATA PEMERI

PERBEZAAN IALAH DAN ADALAH

Kata Pemeri ialah hendaklah digunakan di hadapan kata nama. Contoh ayat yang menggunakan kata pemeri ialah .
1. Pengetua sekolah saya ialah Paun Rahimah Bt Abdullah
Kata pameri adalah digunakan di hadapan kata djektif atau kata sendi nama seperti berikut:
2. Tarikh kejohanan itu adalah pada 15 Mei 2010-05-18
3. Adalah sukar untuk beliau membuat keputusan itu.

Namun demikian kata pameri adalah tidak boleh diikuti oleh kata kerja seperti dalam ayat di bawah ini:
4. Keputusan penyertaan adalah  bergantung pada pihak pengurusan syarikat tersebut. (salah)

Kata pemeri ialah pula boleh diikuti kata kerja atau frasa kerja yang berfungsi sebagai kata nama atau frasa nama. 
Contohnya: 
5. Tanggungjawab ibu bapa ialah mendidik dan memberikan nafkah kepada anak-anak.
Sumber: Berita Harian

TATABAHASA : Kata Pemeri dan Kata Nafi

Kata Pemeri dan Kata Nafi


Penggunaan kata pemeri dalam Bahasa Melayu yang berfungsi sebagai pemeri hal atau perangkai antara subjek ayat dengan frasa utama dalam predikat bukanlah sesuatu yang wajib sebagaimana penggunaan ‘is’, ‘are’ ataupun ‘a’ dalam struktur Bahasa Inggeris.

Penggunaannya agak terbatas dan kurang digalakkan dalam pembentukan ayat-ayat Bahasa Melayu. Namun demikian terdapat kecenderungan penggunaannya dalam pembentukan ayat-ayat yang salah ataupun tidak gramatis khususnya apabila digunakan pada awal ayat di hadapan frasa kerja ataupun kata kerja.

Kesalahan Contoh:

1. Adalah diberitahu bahawa mesyuarat PIBG tersebut akan ditangguhkan ke minggu depan.

2. Adalah dengan ini diisytiharkan bahawa anak bulan Syawal tidak kelihatan.

3. Tingkah lakunya yang sombong itu adalah menyebabkan orang ramai benci kepadanya.

Ayat-ayat di atas seharusnya menggugurkan kata pemeri ‘adalah’ bagi membentuk ayat-ayat yang betul dan gramatis.

Terdapat dua kata pemeri yang digunakan sebagai pemeri hal dalam Bahasa Melayu iaitu ‘ialah’ dan ‘adalah’.

i) Penggunaan Kata Pemeri ‘Ialah’

Kata pemeri ini digunakan di hadapan frasa nama ataupun kata nama untuk menunjukkan pertalian antara subjek dan predikat ayat ataupun dengan kata lain untuk memerihalkan subjek ayat.

Ayat Contoh:

1. Yang turut hadir dalam majlis hari jadinya ialah beberapa orang guru.

2. Antara sebab utama pelajar melepak ialah pengaruh daripada rakan-rakan sebaya.

3. Perkara yang paling penting sekarang ialah pemulihan ekonomi negara.

Kesalahan Penggunaan Kata Pemeri ‘Ialah’

Kesalahan yang biasa dilakukan semasa penggunaan kata pemeri ‘ialah’merupakan penggabungannya dengan kata nafi ‘bukan’ dan ‘tidak’.

Kesalahan Contoh:

1. Mereka ialah bukan pelajar sekolah tersebut.

2. Pelajar-pelajar itu didenda kerana ialah tidak hadir ke sekolah selama tiga hari berturut-turut.

Ayat sepatutnya:

1. Mereka bukan pelajar sekolah tersebut.

2. Pelajar-pelajar itu didenda kerana tidak hadir ke sekolah selama tiga hari berturut-turut.

Satu lagi kesalahan penggunaan ‘ialah’ berlaku apabila digabungkan dengan kata kerja ataupun kata adjektif. Sepatutnya ‘ialah’ digunakan bersama-sama dengan kata nama sahaja.

Kesalahan Contoh:

3. Mereka ialah memberitahu kami tentang kejadian tersebut.

4. Orang tua itu ialah terjatuh ke dalam longkang ketika menunggang basikal.

Ayat sepatutnya:

3. Mereka yang memberitahu kami tentang kejadian itu.

4. Orang tua itu terjatuh ke dalam longkang ketika menunggang basikal.

Ulasan:

Dalam keempat-empat contoh kesalahan di atas, disebabkan penggunaan kata pemeri yang tidak perlu, maka kata pemeri yang digunakan perlu digugurkan.

ii) Penggunaan Kata Pemeri ‘Adalah’

Kata pemeri ‘adalah’ boleh digunakan secara lebih meluas berbanding kata pemeri ‘ialah’. Kata pemeri ini dapat digunakan di hadapan kata adjektif, frasa sendi nama dan dapat hadir bersama binaan kata nafi ‘tidak’ yang digabungkan dengan kata adjektif (adalah + kata nafi ‘tidak’ + adjektif).

Ayat Contoh:

1. Tawaran biasiswa tersebut adalah khusus untuk pelajar Bumiputera sahaja.

2. Kenyataan yang diberikannya adalah tidak benar.

3. Buku-buku itu adalah hasil daripada pengalamannya semasa menjadi tentera.

4. Tindakannya ketika menyelesaikan masalah itu adalah tidak wajar.

Kesalahan ayat:

Kata pemeri ‘adalah’ tidak boleh digunakan bersama kata nafi ‘bukan’ dan dalam binaan frasa kerja.

Kesalahan Contoh;

1. Buku-buku itu adalah bukan untuk kamu.

2. Kegagalannya adalah disebabkan oleh kemalasannya mengulang kaji pelajaran.

3. Adalah dimaklumkan bahawa ujian Bahasa Melayu akan diadakan pada hari esok.

4. Tuan-tuan adalah dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong itu akan dibatalkan.

Ayat sepatutnya;

1. Buku-buku itu bukan untuk kamu.

2. Kegagalannya disebabkan oleh kemalasannya mengulang kaji pelajaran.

3. Dengan ini dimaklumkan bahawa ujian Bahasa Melayu akan diadakan pada hari esok.

4. Tuan-tuan dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong itu akan dibatalkan.

Ulasan:

Penggunaan kata pemeri dalam contoh kesalahan ayat di atas tidak perlu dan mesti digugurkan. Secara ringkasnya, penggunaan kata pemeri bukanlah sesuatu yang amat perlu dalam ayat-ayat Bahasa Melayu sebagaimana struktur ayat Bahasa Inggeris. Penggugurannya dalam ayat-ayat tertentu tidak menjejaskan makna ayat.

iii) Penggunaan Kata Nafi ‘Bukan’ dan ‘Tidak’

Secara umum terdapat dua perkataan kata nafi dalam Bahasa Melayu iaitu ‘bukan’ dan ‘tidak’

Kata nafi ‘bukan’ digunakan dalam binaan Frasa Nama dan Frasa Sendi Nama.

Ayat Contoh:

1. Itu bukan sekolah saya. (Frasa nama)

2. Orang tua itu bukan bapa saya. (Frasa nama)

3. Hadiah itu bukan untuk kami. (Frasa sendi nama)

4. Dia bukan orang kampung kami. (Frasa nama)

Kata nafi ‘tidak’ pula digunakan dalam binaan Frasa Kerja dan Frasa Adjektif.

Ayat Contoh:

1. Bapa saya tidak tidur semalaman kerana menunggu kepulangan kakak. (Frasa kerja)

2. Kami tidak menjemputnya hadir dalam majlis itu. (Frasa kerja)

3. Pemergiannya ke kota tidak direstui oleh ibunya yang sudah tua. (Frasa kerja)

4. Dia merasakan bahawa pembahagian harta pusaka bapanya tidak adil. (Frasa adjektif)

Kesalahan umum yang kerap dilakukan dalam binaan kata nafi ialah penggunaannya pada frasa yang tidak tepat. Dengan kata-kata lain disalahgunakan pada frasa yang tidak seharusnya digunakan kata nafi berkenaan.

Kesalahan Contoh;

1. Buku ini tidak untuk pelajar tingkatan tiga.

2. Orang tua itu tidak dari kampung kami.

3. Wang yang diperolehnya tidak daripada rezeki yang halal.

4. Dia marah kerana anaknya bukan mendengar nasihat yang diberikannya.

5. Tindakannya bukan wajar semasa menangani masalah itu.

Ayat sepatutnya;

1. Buku itu bukan untuk pelajar tingkatan tiga.

2. Orang tua itu bukan dari kampung kami.

3. Wang yang diperolehnya bukan daripada rezeki yang halal.

4. Dia marah kerana anaknya tidak mendengar nasihat yang diberikannya.

5. Tindakannya tidak wajar semasa menangani masalah itu.

Ulasan:

Kata nafi ‘bukan’ boleh digunakan pada frasa kerja dan frasa adjektif jika menunjukkan maksud bertentangan, namun harus digunakan bersama kata hubung ‘tetapi’.

Ayat Contoh:

1. Dia bukan hendak belajar tetapi hendak bermain-main sahaja.

2. Mereka bukan hendak memukul kamu tetapi hendak membantu kamu.

3. Kata-katanya bukan membawa kebaikan tetapi hanya membawa keburukan.

4. Dia bukan sahaja malas tetapi nakal juga.

SUMBER :: http://norazizahmazri.blogspot.com/p/kata-pemeri-dan-kata-nafi.html